Salam Sejahtera,
Kopisanangan,
Tabi basa ngagai semua,
Terlebih dahulu, saya ucapkan selamat datang kepada para pengunjung Portal Rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri (JPM). Saya bersyukur kerana portal rasmi Bahagian ini dapat direalisasikan buat pertama kalinya semenjak Bahagian ini ditubuhkan pada 10 Mac 2020. Sebelum ini, maklumat-maklumat berkaitan Bahagian ini disampaikan melalui media sosial rasmi bahagian iaitu Facebook dan Instragram. Dengan adanya portal rasmi ini, saya percaya ia akan berfungsi sebagai wadah bagi penyampaian maklumat ke atas tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kerajaan Persekutuan komited dalam meneruskan perundingan mengenai isu-isu di bawah MA63 yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak supaya dapat diselesaikan mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada. BHESS JPM yang berperanan sebagai sekretariat bagi Majlis Tindakan Pelaksanaan 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memahami betapa pentingnya untuk memelihara semangat MA63 dalam setiap inisiatif dan tindakan yang dilaksanakan. Oleh itu, Bahagian ini akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan isu-isu berkaitan MA63 dapat diselesaikan sebaiknya dengan memuaskan hati semua pihak yang berkepentingan.
Akhir kata, saya mempersilakan para pengunjung untuk melayari portal ini. Saya berharap portal ini akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat melalui maklumat-maklumat yang dikongsikan, terutamanya maklumat berkaitan BHESS, JPM. Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas bagi tujuan meningkatkan mutu perkhidmatan Bahagian ini.
Sekian, terima kasih.
Iri noh mantad doho, kotohuadan.
Meri besai terima kasih ngagai semua.
ENCIK MOHD SAIFUL SUNGKIH BIN ABDULLAH
SETIAUSAHA BAHAGIAN
BAHAGIAN HAL EHWAL SABAH DAN SARAWAK (BHESS)
JABATAN PERDANA MENTERI (JPM)

