Assalamualaikum wbt,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI,
Selamat datang diucapkan kepada pengunjung poral rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS,JPM). Dunia pada masa kini telah mengubah platform digital menjadi sebahagian daripada budaya arus perdana dan landskap kehidupan rakyat seharian. Keadaan ini telah mendorong kerajaan untuk mengaplikasikan teknologi digital dengan mewujudkan pelbagai platform perkhidmatan dalam talian bagi memastikan setiap maklumat dapat diakses dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak khusunya berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), saya berazam untuk memberikan komitmen supaya hak, kepentingan dan kemajuan negeri Sabah dan Sarawak terus terpelihara dan diperkasakan selaras dengan semangat MA63, demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan Persekutuan Malaysia. Saya bersama-sama dengan BHESS,JPM selaku Sekretariat kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia.
Adalah menjadi harapan saya, dengan adanya portal rasmi ini, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai lapisan masyarakat yang mencari sumber rasmi mengenai pelaksanaan MA63. Portal ini bukan sahaja menyediakan rujukan maklumat dan dokumen rasmi berkaitan dengan MA63, malah juga berfungsi sebagai platform untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk orang awam khusu mengenai hal ehwal Sabah dan Sarawak. Semoga maklumat dalam portal ini dapat memberi manfaat kepada semua.
Sekian, terima kasih.
YB Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus bin Sakmud
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)

