Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026
KOTA KINABALU, SABAH, 11 September 2026 – Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 telah diadakan pada 11 September 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan dihadiri oleh YAB Ketua Menteri Sabah, YAB Premier Sarawak, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Timbalan-Timbalan Premier, Menteri serta pegawai-pegawai kanan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Mesyuarat ini merupakan platform rasmi utama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak bagi membincangkan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mesyuarat ini diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri selaku Sekretariat MTPMA63.