Sesi Libat Urus Dan Lawatan Kerja Bersama Muzium Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2026 – Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Sesi Libat Urus dan Lawatan Kerja ke Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperluas pengetahuan serta meningkatkan penghayatan warga Bahagian terhadap sejarah dan evolusi institusi kepolisan negara.
 
Delegasi BHESS, JPM telah disambut oleh ACP Skandaguru Anandan, Penolong Pengarah Pengurusan, Cawangan Keselamatan/Sukan/Rekreasi, Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dan ACP Mohammad Sabri bin Hj. Abd Kadir, Pengarah Muzium Kepolisan bersama-sama pegawai Muzium PDRM.
 
Menerusi sesi perkongsian ilmu dan lawatan ke ruang pameran, warga BHESS, JPM berpeluang menghayati sejarah serta pengorbanan anggota PDRM dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara sejak era pra-kemerdekaan sehingga kini.
 
Lawatan ini turut menjadi wadah menyemai semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan kepada negara. Nilai keberanian, integriti, disiplin, kesetiaan dan semangat berkorban yang ditunjukkan oleh anggota PDRM sepanjang sejarah negara merupakan teladan yang wajar dijadikan inspirasi dalam melaksanakan amanah sebagai penjawat awam.
 
BHESS, JPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Muzium Polis Diraja Malaysia atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi ilmu dan pengalaman bersama warga Bahagian.

Skip to content