BENGKEL PEMBANGUNAN KLASIFIKASI FAIL (KF) BHESS BAGI TUJUAN PELAKSANAAN DIGITAL DOCUMENT MANAGEMENT SYSTEM (DDMS) 2.0 BAHAGIAN HAL EHWAL SABAH DAN SARAWAK (BHESS, JPM)

PUTRAJAYA, 20 Oktober 2026 — Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail (KF) bagi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan pelaksanaan Digital Document Management System (DDMS) 2.0 telah berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober 2026 (Selasa hingga Khamis) bertempat di Bilik Mesyuarat Utama BHESS, Aras 3, Setia Perdana 3, Kompleks Setia Perdana.

Bengkel selama tiga hari ini bertujuan memperkukuh pengurusan rekod serta menyediakan struktur Klasifikasi Fail yang lebih jelas, teratur dan seragam, selaras dengan fungsi serta aktiviti setiap seksyen dan unit di BHESS. Usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan bahagian ke arah pelaksanaan DDMS 2.0 yang lebih sistematik.

Antara fokus utama bengkel ialah mengenal pasti fungsi dan aktiviti seksyen serta unit, membangunkan hierarki Klasifikasi Fail, menyemak dan menyeragamkan tajuk serta kod fail, di samping menyelaraskan keperluan pengurusan rekod. Bengkel ini melibatkan penyertaan pegawai BHESS dengan sokongan penceramah, fasilitator dan urus setia.

Melalui perbincangan dan semakan bersama, bengkel ini disasarkan untuk menghasilkan draf Klasifikasi Fail BHESS yang menyeluruh dan praktikal sebagai asas kepada proses semakan serta pemuktamadan sebelum pelaksanaan DDMS 3.0. Penyediaan klasifikasi yang mantap diharap dapat memperkemas pendaftaran, penyimpanan, pengesanan dan rujukan rekod rasmi secara lebih cekap.

Semoga komitmen dan kerjasama semua seksyen serta unit dapat memperkukuh budaya pengurusan rekod yang berkesan dan menyokong agenda transformasi digital perkhidmatan awam.

Skip to content