SESI LIBAT URUS DAN LAWATAN KERJA BAHAGIAN HAL EHWAL SABAH DAN SARAWAK, JABATAN PERDANA MENTER KE PUSAT PEMULIHARAAN ORANG UTAN SEPILOK, SANDAKAN, SABAH

SANDAKAN, SABAH 3 November 2026 – Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melaksanakan Sesi Libat Urus dan Lawatan Kerja ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok. Rombongan BHESS, JPM diketuai oleh Setiausaha Bahagian, YBrs. Encik Mohd Saiful Sungkih bin Abdullah. Kehadiran delegasi telah disambut oleh Encik Hussein bin Muin, Pegawai Hidupan Liar serta warga pusat pemuliharaan berkenaan.

Lawatan kerja ini dirangka bagi meningkatkan tahap pemahaman warga BHESS, JPM tentang skop dan fungsi Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok. Dalam sesi taklimat yang berlangsung, para pegawai diberi pendedahan mengenai operasi menyelamat, merawat dan memulihkan orang utan yang cedera serta anak orang utan yang terpisah daripada habitat asalnya. Sesi itu turut mengupas jalinan kerjasama strategik antara Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh usaha pemuliharaan orang utan di negeri Sabah.
 
Delegasi BHESS, JPM juga dibawa meninjau kemudahan di sekitar kawasan pusat tersebut termasuk pelantar pemberian makanan (feeding platform) dan pusat nurseri luar (outdoor nursery). Tinjauan lapangan ini membolehkan para pegawai melihat sendiri proses pemulihan orang utan di samping menghargai keistimewaan warisan semula jadi negeri Sabah.
 
BHESS, JPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Jabatan Hidupan Liar Sabah atas kesudian menerima kunjungan serta perkongsian maklumat yang amat bermanfaat.

Skip to content